Rabu, Julai 08, 2009

Bibliografi Tanah Merdeka

Lahirmu dengan aksara M.A.L.A.Y.A.
Penuh ceria dan gah
Martabatmu tinggi dan penuh mewah
Melambai tangan-tangan rakus asing
Meragut dan merobek keayuanmu.

Titis demi titis
Tinta merah pribumi mengalir hiba
Lantaran racun penjajah yang durjana
Tapi mata anak-anakmu longlai tidak bermaya.

Atas bara api kesedaran yang membuak
Tumbuh buluh runcingan memagari bumi ini
Bersama nadi dan famili
Dengan laungan kalimat,
‘BUMI INI MILIK KAMI!’.

Diari penuh keperitan,
Penuh kesengsaraan lagi derita
Menjadi pembakar jiwa dan nurani
Membangun kembali tanah ini
Agar mampu tegak dan ampuh berdiri.

Sinar hijri 4 Safar 1377
Gandingan tanggal keramat masihi 31 Ogos 1957
Satu lagu laungan bernada lantang
Telah memadam padang penjajahan
Telah memadam api penindasan
Telah mencantas pohon kehalobaan
Telah meruntuh tembok keegoan
Menjadi taman kemerdekaan
Dengan nama yang bersemarak M.A.L.A.Y.S.I.A.
Dan lagu ngeri itu telah dimatikan.

Hasil sentuhan seniman yang berjiwa merdeka,
Flora konkrit menjadi tanaman komoditi,
Fauna teknologi bebas berkeliaran ,
Kini anak watanmu
Bisa tersenyum,
Kini anak watanmu,
Bisa berpesta,
Kini anak watanmu,
Gah berlari bersama minda jaya
Pada hamparan dunia milik Ilahi.

Kini tangan kesyukuran ditadahkan
Agar bibliografi silam
Yang penuh kedukaan
Yang penuh kesedihan
Yang penuh kengerian
Tidak akan bertandang dan berulang.

Abadikan laungan
Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Nukilan Patriotik : Pak Ngah
29 Ogos 2004

Anak Watan Tercinta

Anak watan tercinta,
Walaupun ditimbus runtuhan Kota Melaka,
Kalimat berdaulat,
Datuk Laksamana Hang Tuah,
Masih meniti di bibir,
Masih tersemat dihati,
Masih terpahat di arkib bumi,
Untuk menilai potret merdeka ini.

Anak watan tercinta,
Haruman bunyi laungan merdeka,
Terbit dari bibir ayahanda tercinta,
Menitik noktah bicara angkuh,
Membidas hujah dendangan nista,
Meraut wajah ceria anak merdeka.

Anak watan tercinta,
Merdekakah kita
Jika agama tidak dibela ?
Merdekakah kita
Jika minda masih terjajah ?
Merdekakah kita
Jika tari laku tiada sahsiah ?
Merdekakah kita
Jika budaya diri disanggah ?
Merdekakah kita
Jika pemimpin minta disembah ?

Anak watan tercinta,
Andai ukiran masih bernada nista,
Layakkah kita mendabik dada merdeka,
Di suaka bumi tercinta ini,
Yang masih berbumbungkan,
Kajang celaka hak milik mereka.

Anak watan tercinta,
Jeritlah laungan keramat merdeka,
Dengan lantang dan penuh gah,
Andai agama terbela,
Andai minda mampu menerjah,
Andai tari laku bermaruah,
Andai budaya diri berdiri megah,
Andai pemimpin berhikmah.

Anak watan tercinta,
Jangan biarkan kita terus bertatih,
Meniti jambatan kehidupan,
Mendaki puncak teknologi,
Merenangi lautan globalisasi,
Terentang, terbentang, terpacak,
Bersama duri diskriminasi.

Anak watan tercinta,
Biarlah kita bermula dengan telentang,
Terus meniarap,
Terus merangkak,
Terus bertatih,
Terus berjalan,
Dan terus berlari,
Di bumi tercinta,
Bersulam kalimat keramat tersohor,
M.E.R.D.E.KA.

Merdeka !
Merdeka !
Merdeka !

Nukilan Patriotik : Pak Ngah
12 Ogos 2005

Sentuhan Sakti Seorang Lilin

Muhammad Ibni Abdillah,
Junjungan besar berpesan:

Anak-anak itu ,
Umpama bentangan putih tanpa kelaran,
Meniarap, merangkak, menatih,
Meniti bilah-bilah hari mendatang,
Dalam ketandusan sinar bintang kehidupan,
Menunggu sentuhan sakti seorang lilin sejati.

Bermula jeritan puisi megah si Jalak,
Bangun seorang insan kerdil seorang lilin,
Melangkah sujud bersama alunan iman dini hari.

Cahaya dari ufuk timur,
Merempuh titisan embun pagi,
Bersama langkah semangat seorang lilin,
Bersulamkan akal bestari,
Berbungakan hati budi,
Berbuahkan azam hakiki,
Mengikis lapisan kedayusan diri putik insani.

Sentuhan sakti seorang lilin,
Bersama rasa kasih di hati,
Bijak mengatur tari dan nyanyi,
Mengukir arca insan yang belum mengerti,
Tentang hakikat diri,
Tentang martabat diri,
Tentang haluan diri,
Dan tentang erti hidup ini.

Sentuhan sakti seorang lilin,
Bersama titisan keringat semangat,
Tanpa berjurikan habuan,
Menabur benih-benih keinsanan,
Dalam diri anak bangsa.

Kita surih madah seorang pujangga,
Ternukil dalam untaian aksara puitisnya,
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang Presiden sebuah Negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Kini,
Sentuhan sakti seorang lilin,
Kian pudar dipersadakan,
Lantaran tusukan racun berbisa,
Lantaran kedewasaan dunia,
Lantaran hasutan musuh durjana,
Mengaburi dalamnya lautan jasa,
Sentuhan sakti seorang lilin.

Nukilan : Pak Ngah
12 Mei 2005

Pesanan Untuk Anak Didik Tercinta

Bilah-bilah hari berlalu
Terperosok bangsaku
Bersama detik jam berlari
Terkelu lidah tanpa kata-kata

Mana pergi nusaku
Menerjah arus saki baki kehidupan
Teraba-raba mencari identiti diri
Mengeja pantas kemerdekaan
Tapi kelu lidah haram jadah
Minda mengakses nikmat madu kemerdekaan.

Mata masih buta membeza
Antara dosa dan agama
Antara Toyota dan Waja
Antara CD lucah dan budi bertatah
Antara ecstacy dan mentaliti diri
Antara selamat dan mudarat
Antara nafsu dan hati
Antara fantasi dan realiti
Angkara alpa kelibat kononnya merdeka.

Di medan pusaka ad-din yang syumul ini
Kaugegarkan buana dengan ikrar keramat
Innassolati wanusuki wamah yaa yaa
Wa mamaa ti lillahi rabbil ‘alamiin
Tetapi hanya dipinggir dusta lidah bercabang
Dimuntah hati yang benci
Dipagari bujukan musuh temurun
Bapa kita Adam alaihissalam.

Janganlah
Janganlah hendaknya
Alunan Kau di puncak gemilang
Meniti di bibir munafik
Menjadi siulan di mulut hipokrasi
Menjadi paparan di mata tanpa visi
Sekadar menyenangkan hati
Tapi muflis personaliti
Serta wandu peribadi

Mana anak nusaku
Hilang dalam deretan kibaran jalur gemilang
Masih tercari dengan longlai
Mutiara nikmat merdeka
Bersama halwa manisan minda merdeka
Masih bertempik alunan lagu kecundang
Aku akan tetap jadi petani
Aku akan tetap jadi buruh kasar
Aku akan tetap jadi nelayan
Aku akan tetap menagih kasihan
Biar kais pagi makan pagi
Biar kais petang makan petang
Persetankan dengan pengetahuan
Pedulikan dengan kecemerlangan
Natijah berbekalkan azimat keparat
Ulat dalam batu lagikan hidup.

Anak-anak buah hati pengarang jantung
Janganlah leka berenang di lautan selesa
Bangkit dan sedarlah
Bumi merdeka ini
Dahagakan belaian ilmuan sarwa
Rindukan madah lidah pujangga
Dambakan sentuhan sarjana perkasa
Ketahui dan ingatlah
Firman Yang Maha Pencipta
Engkau adalah sebaik-baik yang tercipta
Dan launglah merdeka ini
Bersama reda-Nya.

Nukilan Patriotik : Pak Ngah
30 Ogos 2006

Awas, Bahaya Berkahwin dengan Wanita-wanita ini !

“Jangan engkau kahwini wanita yang enam, jangan yang Ananah, yang Mananah, dan yang Hananah, dan jangan engkau kahwini yang Hadaqah, yang Baraqah dan yang Syadaqah.”

Wanita Ananah:banyak mengeluh dan mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.

Wanita Mananah:suka membangkit-bangkit terhadap suami. Wanita ini sering menyatakan, “Aku membuat itu keranamu”.

Wanita Hananah: menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

Wanita Hadaqah: melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

Wanita Baraqah: ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkannya bahagianya.

Wanita Syadaqah: banyak cakap tidak menentu lagi bising.

Dicatat oleh Imam Al-Ghazali

Ahad, Julai 05, 2009

Adakah Aku Tsa'labah Moden ?

Usahawan, sebagai manusia, tidak boleh dianggap sebagai salah satu daripada faktor pengeluaran. Kalau usahawan dianggap sebagai salah satu faktor pengeluaran, usahawan itu diturunkan status mereka kepada status faktor pengeluaran yang lain, seperti tanah, modal dan sebagainya yang dijadikan Allah untuk manusia.

Mereka akan mengeksploitasi sumber-sumber alam dan faktor-faktor pengeluaran yang lain secara berlebihan kerana antara mereka, termasuk usahawan itu sendiri sebagai salah satu faktor pengeluaran, terpaksa bersaing dengan faktor pengeluaran yang lain. Dalam banyak kes, usahawan begini bukan sahaja merendahkan statusnya kepada status faktor-faktor pengeluaran berkenaan, tetapi lebih dari itu menjadi hamba kepada faktor-faktor pengeluaran itu, dan seterusnya hamba kepada hasil pengeluaran. Dalam keadaan ini, tidak mungkin usahawan berkenaan dapat menggemilangkan Islam.

Bagaimanakah hamba kepada kebendaan, dan bukan hamba kepada Allah, boleh menggemilangkan Islam? Mereka yang menjadi hamba kepada kebendaan adalah manusia yang lemah dan tidak mempunyai tahap pengorbanan yang tinggi, sedangkan usaha menggemilangkan Islam memerlukan manusia yang kuat dalam pelbagai segi dan mesti melibatkan pengorbanan yang bukan sedikit.

Antara kemelut awal dalam sejarah manusia telah membuktikan bahawa jiwa pengorbanan yang rendah bukan sahaja tidak boleh menggemilangkan Islam, tetapi juga merosakkan perpaduan. Peristiwa Qabil-Habil cukup mengajar manusia tentang betapa lemahnya jiwa orang yang tunduk kepada kekayaan kebendaan dan boleh membawa kepada perpecahan sehingga menumpahkan darah. Apabila disampaikan oleh bapa mereka Nabi Adam kepada kedua-dua anaknya Qabil dan Habil tentang Allah memerintahkan mereka supaya memberikan pengorbanan (dalam bentuk zakat) daripada harta benda mereka, ternyata Qabil yang menjadi hamba kebendaan lebih dari hamba Allah SWT telah memenuhi kepentingan dirinya lebih daripada kepentingan Allah SWT dan agamanya. Qabil telah memberikan tanamannya yang busuk sebagai pengorbanan sedangkan yang elok-elok disimpan untuk kepentingan dirinya sendiri. Keadaan ini berbeza dengan Habil yang memberikan ternakan biri-birinya yang paling bagus dan paling disayanginya sebagai pengorbanannya kepada Allah SWT. Keburukan Qabil yang menjadi hamba kepada kebendaan itu sampai kepada kemuncaknya apabila beliau membunuh Habil yang telah ditetapkan oleh Nabi Adam berkahwin dengan adik perempuan mereka yang lebih cantik berbanding dengan yang dijodohkan dengan Qabil. Jadi walaupun Qabil cemerlang dalam mengendalikan perusahaan tanamannya, namun beliau tidak dapat menggemilangkan Islam, malah merosakkan perpaduan, merosakkan diri adiknya malah merosakkan dirinya sendiri. Begitulah juga dengan Qarun pada zaman Nabi Musa dan Tsa'labah pada zaman Rasulullah s.a.w.

Dapat disimpulkan bahawa usahawan yang mampu menggemilangkan Islam ialah usahawan yang cemerlang mengikut definisi Islam itu sendiri. Dalam mengendalikan perusahaannya mereka, status mereka sebagai hamba dan khalifah Allah tetap dipertahankan. Jiwa mereka kuat dan pengorbanan mereka adalah tinggi. Contohnya, Saidina Abu Bakar, Saidina Umar Ibn Khattab, Saidina Uthman Affan dan Saidina Abdul Rahman bin ‘Auf pada zaman Rasulullah s.a.w, budak pengembala kambing dan Jariah di zaman Khalifah Saidina Umar Ibn Khattab. Saidina Abu Bakar mengorbankan kesemua hartanya untuk menggemilangkan Islam, manakala Saidina Umar tiga perempat, Saidina Uthman separuh dan Saidina Abdul Rahman tidak kurang juga banyaknya. Budak pengembala kambing dan Jariah (ertinya budak perempuan) di zaman Khalifah Saidina Umar pula menggemilangkan Islam melalui kejujuran masing-masing.

Manakala budak pengembala kambing takut menjualkan ternakan pengembalaannya tanpa diketahui tuannya kerana menyedari Allah SWT melihat perbuatannya, Jariah pula enggan menurut perintah ibunya mencampurkan susu dengan air kerana taat kepada larangan Khalifah dan sangat takut kepada Allah SWT. Kerana jujurnya Jariah, Saidina Umar mengambil Jariah sebagai menantunya. Secara ringkas ceritanya begini, pada satu malam, seperti malam-malam biasa, Saidina Umar sebagai khalifah mengelilingi Kota Madinah bersama pembantunya bernama Aslam. Setelah keletihan beliau bersandar di dinding sebuah rumah penjual susu dan tiba-tiba terdengar dari dalam rumah percakapan seorang ibu dengan anak perempuannya:

Ibu : Berdirilah dan campurlah susu itu dengan air.
Anak: Wahai ibu, apakah ibu tidak tahu ketegasan Amirul Mukminin sekarang dalam menjalankan perintah?
Ibu : Apa gerangan perintah itu?
Anak: Beliau telah menyeru kepada semua penjual susu, bahawa dilarang mencampuri susu dengan air!
Ibu :Hai anakku, orang ramai telah melanggar perintah itu, maka langgar pulalah olehmu, engkau berada di suatu tempat yang tidak boleh dilihat Umar dan tidak pula pembantunya, dan dia tidak akan tahu hal itu.
Anak: Jika Umar tidak tahu, tetapi Tuhan Umar pasti tahu. Demi Allah, saya bukanlah orang yang tergolong mentaatinya di hadapan orang ramai tetapi menderhakainya pada waktu sunyi.

Mendengar percakapan itu, Khalifah Saidina Umar berkata kepada pembantunya: “Tandailah rumah ini dan ingat tempat ini baik-baik!”. Keesokannya Saidina Umar menyuruh Aslam pergi memerhatikan rumah itu dan penghuninya dan didapati kedua-dua ibu dan anak itu adalah janda, dari kaum Bani Bilal. Saidina Umar lantas memanggil anaknya bernama Ashim dan dikahwinkan dengan Jariah yang jujur dan tinggi ketauhidannya itu. Daripada perkahwinan itu dikurniakan anak perempuan bernama Laila Ummi Ashim yang kemudiannya berkahwin dengan Abdul Aziz bin Marwan dan mendapat anak lelaki bernama Umar Ibn Aziz. Jariahlah nenek kepada Khalifah Umar Ibn Aziz yang terkenal telah menggemilangkan Islam pada zaman pemerintahannya. Daripada penghujahan di atas, jelas bahawa usaha menjadi usahawan cemerlang yang boleh menggemilangkan Islam mesti bermula dengan Islam sendiri. Hal ini tidak mungkin berlaku kecuali usahawan-usahawan Islam kembali mempelajari dan menghayati ilmu Islam.

Islam mempunyai empat sumber ilmu utama, yakni Al-Qur’an, Hadis, Ijmak Ulama dan Qiyas Ulama. Dari empat sumber ilmu ini lahirlah dua bentuk ilmu yakni Ilmu Fardu Ain dan Ilmu Fardu Kifayah. Ilmu Fardu Ain ialah kewajipan individu manakala ilmu Fardu Kifayah ialah kewajipan sosial. Ilmu Fardu Ain terbahagi kepada tiga bentuk, yakni ilmu Tauhid, ilmu Fikah dan Ilmu Tasauf. Ilmu Tauhid adalah ilmu yang bersangkutan dengan akidah, ilmu fikah bersangkutan dengan syariat manakala ilmu tasauf bersangkutan dengan akhlak. Dari ketiga-tiga ilmu ini, hanya ilmu Fikah terbahagi kepada empat bahagian iaitu bahagian ibadah, muamalat, munakahat dan jinayat. Ilmu fardu kifayah pula ialah ilmu-ilmu gunaan yang khusus, umpamanya ilmu perubatan, ilmu politik, ilmu pemerintahan, ilmu ekonomi, ilmu sosial, ilmu pembangunan, ilmu perniagaan dan sebagainya.

Usahawan yang belajar dan mengamalkan kedua-dua ilmu fardu ain dan fardu kifayah sahaja yang akan jadi cemerlang dan oleh itu akan dapat menggemilangkan Islam. Ilmu fardu ain akan meningkatkan iman dan takwa dan oleh itu meningkatkan kerohanian, manakala ilmu fardu kifayah meningkatkan kecekapan dan profesionalisme. Tidak mungkin seseorang usahawan dapat menjadi cemerlang dan menggemilangkan Islam kalau mereka hanya mempunyai kecekapan dalam mengendalikan ilmu fardu kifayah, dalam kes ini ilmu keusahawanan, sekiranya mereka tidak mempelajari dan mengamalkan ilmu fardhu ain. Begitulah juga sebaliknya.

Para usahawan Islam merupakan sebahagian dari masyarakat Islam yang penting. Mereka boleh menggemilangkan Islam. Untuk ini mereka mestilah mempunyai dua asas yang penting. Pertama, mereka mesti menjadi usahawan yang cukup sebagai seorang manusia sepertimana ditetapkan oleh Islam, yakni manusia yang mempunyai gabungan rohani dan jasmani yang hidup di dunia ini untuk memenuhi janji mereka dengan Allah sebagai hamba dan khalifah Allah. Kedua, sebagai garis panduan, mereka mestilah berilmu dengan ilmu Fardu Ain dan Fardu Kifayah dan bersumberkan Al-Qur’an, Hadis, Ijma' dan Qiyas Ulama, dan mengamalkan ilmu-ilmu berkenaan dengan sebaiknya.

Cuba kita ambil iktibar daripada satu kisah seorang sahabat Nabi yang amat miskin yang telah datang kepada Nabi sambil mengadukan tekanan ekonomi yang dialaminya. Tsa'labah, nama sahabat tersebut, memohon Nabi untuk berdoa supaya Allah memberikan rezeki yang banyak kepadanya. Pada mulanya Nabi menolak permintaan tersebut sambil menasihati Tsa'labah agar meniru kehidupan baginda sahaja. Namun Tsa'labah terus mendesak dan kali ini dia mengemukakan hujah yang diguna pakai dan didengari sehingga kini, "Ya Rasulullah, sekiranya Allah memberikan kekayaan kepadaku, maka aku dapat memberikan kepada setiap orang akan haknya".

Nabi kemudian mendoakan Tsa'labah. Tsa'labah mulai membeli binatang ternak. Ternakannya berkembang pesat sehingga dia terpaksa menjalankan kerja penternakan agak jauh dari Madinah. Seperti yang diduga, setiap hari dia sibuk mengurus lading ternaknya. Ia tidak dapat lagi menghadiri solat jemaah bersama Rasulullah pada siang hari. Hari-hari selanjutnya, ternakannya semakin banyak; sehingga semakin sibuk pula Tsa'labah mengurusnya. Kini, dia langsung tidak dapat lagi berjemaah bersama Rasul. Bahkan menghadiri solat jumaat dan solat jenazah pun tidak dapat dilakukannya lagi.

Ketika turun perintah zakat, Nabi menugaskan dua orang sahabat untuk menarik zakat dari Tsa'labah. Sayang, Tsa'labah menolak mentah-mentah utusan Nabi itu. Ketika utusan Nabi datang hendak melaporkan sikap Tsa'labah ini, Nabi menyambut utusan itu dengan ucapan beliau, "Celakalah Tsa'labah!" Nabi murka, dan Allah pun murka! Saat itu turunlah tiga ayat daripada surah at-Taubah yang kira-kira bermaksud: "Dan di antara mereka ada yang telah berikrar kepada Allah. Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian kurnia-Nya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang-orang yang salih."

Maka setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari kurnia-Nya, mereka kikir dengan kurnia itu, dan berpaling, dan mereka memanglah orang-orang yang selalu membelakangi (kebenaran). Maka Allah menimbulkan kemunafikan pada hati mereka sampai kepada waktu mereka menemui Allah, kerana mereka telah memungkiri terhadap Allah apa yang telah mereka ikrarkan kepada-Nya dan (juga) karena mereka selalu berdusta. Tidaklah mereka tahu bahawasannya Allah mengetahui rahasia dan bisikan mereka, dan bahawasanya Allah amat mengetahui yang ghaib?"

Tsa'labah mendengar ada ayat turun mengecam dirinya dan mulai ketakutan. Segera dia menemui Nabi sambil menyerahkan zakatnya. Akan tetapi Nabi menolaknya,"Allah melarang aku menerimanya." Tsa'labah menangis tersedu-sedu. Setelah Nabi wafat, Tsa'labah menyerahkan zakatnya kepada Abu Bakar, kemudian Umar, tetapi kedua-dua Khalifah itu menolaknya. Tsa'labah meninggal pada masa Utsman.

Di manakah Ts'alabah sekarang? Jangan-jangan kitalah Tsa'labah-Tsa'labah baru yang dengan linangan air mata memohon agar rezeki Allah turun kepada kita, dan ketika rezeki itu turun, dengan sombongnya kita lupakan ayat-ayat Allah. Bukankah kita dengan alasan sibuk berbisnes dan tidak lagi sempat solat lima waktu. Bukankah dengan alasan ada "meeting penting" kita lupakan perintah untuk solat Jumaat. Bukankah ketika ada yang meminta sedekah dan zakat, kita ceramahi mereka dengan cerita bahawa harta yang kita miliki itu hasil kerja keras, siang-malam membanting tulang; bukan turun begitu saja dari langit, lalu mengapa orang-orang mudah sahaja minta sedekah tanpa harus bekerja keras.

Kitalah Tsa'labah....Tsa'labah ternyata masih hidup dan "mazhab"-nya masih kita ikuti... Konon, ada riwayat yang memuat saran Nabi Muhammad SAW, "Bersedekahlah, dan jangan tunggu satu hari nanti pada saat engkau ingin bersedekah tetapi orang miskin menolaknya dan mengatakan 'kami tidak perlukan wangmu, yang kami perlukan adalah darahmu'!"

Dahulu Tsa'labah menangis di depan Nabi yang tak mau menerima zakatnya. Sekarang, jangan-jangan kita bukan hanya akan menangis namun berlumuran darah ketika orang miskin menolak sedekah dan zakat kita! Na’u zubillah.
والله أعلم