Rabu, Julai 08, 2009

Pesanan Untuk Anak Didik Tercinta

Bilah-bilah hari berlalu
Terperosok bangsaku
Bersama detik jam berlari
Terkelu lidah tanpa kata-kata

Mana pergi nusaku
Menerjah arus saki baki kehidupan
Teraba-raba mencari identiti diri
Mengeja pantas kemerdekaan
Tapi kelu lidah haram jadah
Minda mengakses nikmat madu kemerdekaan.

Mata masih buta membeza
Antara dosa dan agama
Antara Toyota dan Waja
Antara CD lucah dan budi bertatah
Antara ecstacy dan mentaliti diri
Antara selamat dan mudarat
Antara nafsu dan hati
Antara fantasi dan realiti
Angkara alpa kelibat kononnya merdeka.

Di medan pusaka ad-din yang syumul ini
Kaugegarkan buana dengan ikrar keramat
Innassolati wanusuki wamah yaa yaa
Wa mamaa ti lillahi rabbil ‘alamiin
Tetapi hanya dipinggir dusta lidah bercabang
Dimuntah hati yang benci
Dipagari bujukan musuh temurun
Bapa kita Adam alaihissalam.

Janganlah
Janganlah hendaknya
Alunan Kau di puncak gemilang
Meniti di bibir munafik
Menjadi siulan di mulut hipokrasi
Menjadi paparan di mata tanpa visi
Sekadar menyenangkan hati
Tapi muflis personaliti
Serta wandu peribadi

Mana anak nusaku
Hilang dalam deretan kibaran jalur gemilang
Masih tercari dengan longlai
Mutiara nikmat merdeka
Bersama halwa manisan minda merdeka
Masih bertempik alunan lagu kecundang
Aku akan tetap jadi petani
Aku akan tetap jadi buruh kasar
Aku akan tetap jadi nelayan
Aku akan tetap menagih kasihan
Biar kais pagi makan pagi
Biar kais petang makan petang
Persetankan dengan pengetahuan
Pedulikan dengan kecemerlangan
Natijah berbekalkan azimat keparat
Ulat dalam batu lagikan hidup.

Anak-anak buah hati pengarang jantung
Janganlah leka berenang di lautan selesa
Bangkit dan sedarlah
Bumi merdeka ini
Dahagakan belaian ilmuan sarwa
Rindukan madah lidah pujangga
Dambakan sentuhan sarjana perkasa
Ketahui dan ingatlah
Firman Yang Maha Pencipta
Engkau adalah sebaik-baik yang tercipta
Dan launglah merdeka ini
Bersama reda-Nya.

Nukilan Patriotik : Pak Ngah
30 Ogos 2006

Tiada ulasan:

Catat Ulasan