Rabu, Julai 08, 2009

Anak Watan Tercinta

Anak watan tercinta,
Walaupun ditimbus runtuhan Kota Melaka,
Kalimat berdaulat,
Datuk Laksamana Hang Tuah,
Masih meniti di bibir,
Masih tersemat dihati,
Masih terpahat di arkib bumi,
Untuk menilai potret merdeka ini.

Anak watan tercinta,
Haruman bunyi laungan merdeka,
Terbit dari bibir ayahanda tercinta,
Menitik noktah bicara angkuh,
Membidas hujah dendangan nista,
Meraut wajah ceria anak merdeka.

Anak watan tercinta,
Merdekakah kita
Jika agama tidak dibela ?
Merdekakah kita
Jika minda masih terjajah ?
Merdekakah kita
Jika tari laku tiada sahsiah ?
Merdekakah kita
Jika budaya diri disanggah ?
Merdekakah kita
Jika pemimpin minta disembah ?

Anak watan tercinta,
Andai ukiran masih bernada nista,
Layakkah kita mendabik dada merdeka,
Di suaka bumi tercinta ini,
Yang masih berbumbungkan,
Kajang celaka hak milik mereka.

Anak watan tercinta,
Jeritlah laungan keramat merdeka,
Dengan lantang dan penuh gah,
Andai agama terbela,
Andai minda mampu menerjah,
Andai tari laku bermaruah,
Andai budaya diri berdiri megah,
Andai pemimpin berhikmah.

Anak watan tercinta,
Jangan biarkan kita terus bertatih,
Meniti jambatan kehidupan,
Mendaki puncak teknologi,
Merenangi lautan globalisasi,
Terentang, terbentang, terpacak,
Bersama duri diskriminasi.

Anak watan tercinta,
Biarlah kita bermula dengan telentang,
Terus meniarap,
Terus merangkak,
Terus bertatih,
Terus berjalan,
Dan terus berlari,
Di bumi tercinta,
Bersulam kalimat keramat tersohor,
M.E.R.D.E.KA.

Merdeka !
Merdeka !
Merdeka !

Nukilan Patriotik : Pak Ngah
12 Ogos 2005

Tiada ulasan:

Catat Ulasan