Isnin, Julai 13, 2009

Mengapakah Perlu Bersolat ?

مُرُوْا أَوْ لاَدَكُمْ بِالصَلاَةِ لِسَبْعٍ وَاضْرِبُوْ هُمْ عَلَيْهَا لِعَشْرٍ
"Perintahkan anak-anakmu mengerjakan solat ketika berumur 7 tahun dan pukullah dia apabila tidak mengerjakan solat ketika berusia 10 tahun. (Hadis Nabi)

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ (1) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاَ تِهِمْ خَاشِعُون
Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya

وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ (9) أُولَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ (10) الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Dan orang-orang yang memelihara solatnya Maka itulah orang-orang yang akan mewarisi (iaitu) yang akan mewarisi syurga Firdausi; mereka kekal di dalamnya.

وَأَقِمِ الصَّلاَةَ إِنَّ الصَّلاَةَ تَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ
Sesungguhnya solat dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar.” (Ankabut:45)

إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
“Sesungguhnya solat adalah satu ketetapan berwaktu yang diwajibkan ke atas orang-orang mukmin.” (an-Nisaa’:103)

Solat atau sembahyang itu Tuhan yang menetapkan rukun-rukunnya. la bukan ciptaan manusia, bukan direka-reka atau dibentuk oleh manusia. Kalau difahami dan dihayati, sembahyang itu hebat. Kita akan dapat rasa bahawa Tuhan itu hebat. Kita akan dapat bersandar kepada kehebatan-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kebesaran-Nya tetapi terasa kebesaran-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan macam mana wujudnya tetapi terasa wujud-Nya. Satu Zat yang tidak dapat dibayangkan kuasa-Nya tetapi terasa kuasa-Nya. Terasa kita kesempurnaan Tuhan. Kita boleh minta apa sahaja dari Tuhan. Tuhan sedia melayannya.
Solat itu adalah satu modul yang Iengkap untuk mendidik hati dan jiwa manusia. Dalam solat ada ubat, ada pil, ada tonik dan ada vitamin untuk menyembuhkan penyakit rohani dan membina peribadi yang kuat, gagah dan agung. Boleh timbul berbagai kekuatan bagi individu atau sesuatu bangsa hasil dari solat dengan syarat ada ilmunya, faham dan solat itu benar-benar dijiwai dan dihayati.
Berikut adalah beberapa contoh bagaimana solat dapat membina sifat-sifat yang positif:
1. Rajin
Sifat yang berlawanan dengan rajin ialah pemalas. Pemalas sangat dibenci Tuhan. Untuk menjadi bangsa yang kuat, kita kena rajin. Sifat rajin tidak boleh dilakon-lakon atau dibuat-buat. Mesti ada pemangkin atau pendorong yang bersifat rohaniah. Dalam sembahyang kita memuja dan memuji Tuhan. Kita kata Tuhan Maha Besar. Kita akui Tuhan Maha Suci. Kita akui Tuhan pentadbir dunia dan Akhirat. Hati kita rasa bertuhan, rasa Tuhan itu besar. Kita rasa Tuhan Maha Melihat, Tuhan itu ada dan Tuhan sentiasa berperanan dalam hidup kita. Kita juga membuat janji dan ikrar bahawa semua solat, ibadah, hidup dan mati kita hanya untuk Tuhan. Solat dan ibadah dipisahkan walhal solat pun ibadah juga. Itulah tandanya solat itu ibadah yang penting, utama dan pertama dari ibadah-ibadah yang lain sama ada yang wajib atau yang sunat. Kita bertungkus-lumus membuat semua ibadah.
Hidup dan mati itu pula merangkumi aktiviti yang tidak ditentukan. Boleh jadi ianya perkara ibadah, boleh jadi tidak. Makan, rehat dan tidur boleh dijadikan ibadah ataupun tidak. Kita berikrar, perbuatan yang harus pun hendak kita jadikan ibadah. Jadi mana boleh rehat-rehat. Kita kena aktif, sentiasa bertenaga dan bergerak. Inilah dia perkara dalam solat yang membuatkan kita cergas dan aktif, rajin dan sentiasa bergerak. Segala macam perkara yang jadi ibadah kita buat. Perkara yang harus pun kita jadikan ibadah. Maknanya solat itu membunuh kemalasan. Kalau sesuatu kelompok itu ibadahnya banyak, baca Quran banyak, wirid dan zikir banyak, kita kata mereka hebat. Itu sebenarnya satu salah tafsir. Kita sangka mereka baik sebab mereka tidak tegur orang dan hanya beriktikaf sahaja. Tapi mereka tidak rajin dan tidak berkhidmat kepada masyarakat.
Di sini konsep ibadah itu sudah silap. Itu menunjukkan mereka hanya ada ilmu tetapi tidak faham dan ilmu itu tidak dihayati. Pada orang ramai, mereka orang baik. lni satu kesalahan yang besar. Orang yang baik itu bukan setakat boleh beribadah dan tidak mengganggu orang. Orang yang baik itu, selepas ibadah mesti aktif dan mesti berkhidmat kepada orang lain dengan tenaganya, nasihat dan wang ringgit.
Ada Hadis yang bermaksud: "Yang paling baik di antara kamu ialah kamu yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain."
Sebab itu para salafussoleh, kerana ibadah mereka dihayati dan berperanan pada diri mereka, kalau selepas waktu Subuh, walaupun mereka tidak ada kerja yang khusus, mereka sengaja keluar cari-cari pasal (untuk buat kebaikan) dan cari-cari kerja. Mereka pergi tolong petik gandum, tolong mencangkul tanpa disuruh atau diminta. Kalau mereka melihat ada rumah yang bumbungnya bocor, mereka minta izin tuan rumah untuk membaikinya. Inilah solat yang melahirkan orang yang aktif. Tapi hari ini, orang banyak solat, banyak ibadah, tetapi mereka jadi beku dan jumud. Bahkan nasib mereka pun ditentukan oleh orang lain. Bukankah ini satu kesilapan yang besar. Hanya kerana mereka itu nampak lembut, tidak ganggu orang, kuat ibadah, maka orang anggap itu baik dan bagus. Orang yang kuat hubungannya dengan Tuhan, dia mesti banyak berhubung dengan manusia. Orang yang banyak berkhidmat dengan Tuhan mesti banyak berkhidmat dengan manusia. Kalau betul takut dan cinta Tuhan, akan bertambah cinta kepada manusia. Itulah sepatutnya natijah atau hasil dari solat.

2.Berjiwa Besar
Hasil dari solat ialah rasa beriman dan bertakwa. Kalau itulah yang kita rasa maka akan timbullah rasa berjiwa besar. Sebab orang yang beriman dan bertaqwa itu Tuhan kata, "Dia orang Aku." Kalau seseorang itu sudah menjadi orang Tuhan, Tuhan janjikan untuknya berbagai-bagai perkara dan Tuhan tidak, mungkir janji. Janji Tuhan pasti Tuhan tepati. Apakah janji Tuhan kepada orang mukmin, orang bertaqwa dan orang yang sudah menjadi orang Tuhan? Tuhan janjikan kepadanya:
keselamatannya; kewangannya; kehidupannya; kepandaian; kemenangan; dan, Tuhan bertanggungjawab dan akan mengalahkan musuh-musuhnya Tuhan mempunyai ramai rijal yang ghaib. Angin, air dan bermacam-macam lagi adalah tentera-tentera Tuhan. Tuhan boleh arah mereka bertindak. Kalau begitulah keyakinan kita hasil dari solat, maka dari solat itulah kita akan beroleh jiwa yang besar.
Orang yang sudah jadi orang Tuhan, ada sesuatu yang paling besar pada dirinya yang tidak ada pada ciptaan lain. Orang tengok gunung, tidak ada yang masuk Islam. Orang tengok laut, tidak ada yang menangis kerana merasa insaf dengan kebesaran Tuhan. Tetapi dengan melihat orang Tuhan dan orang yang bertaqwa, manusia boleh masuk Islam tanpa banyak hujah. Bila tengok sahaja orang bertaqwa, tergerak hati mereka hendak bertaubat kepada Allah.
Orang bertakwa itu adalah ciptaan Tuhan yang paling hebat. Orang boleh terpukau dengannya. Dia pemaaf, berkasih sayang, suka mengutamakan orang lain, belas kasihan dan kalau ada orang buat jahat padanya, dibalasnya dengan kebaikan. Dia tidak boleh tengok orang susah. Pasti dibantunya. Orang yang berjiwa besar sentiasa mahu melahirkan tanda kebesaran Tuhan pada dirinya. Tuhan Maha Pemurah, dia pun mahu jadi pemurah. Tuhan buat baik pada orang yang buat jahat pada-Nya, dia pun mahu buat balk pada orang yang buat jahat padanya. Betapa tidak, orang sekutukan Tuhan, maki Dia, mengata Dia, tolak suruhan-Nya, tidak solat, berjudi, minum arak tapi Tuhan tetap layan mereka. Tuhan tetap bagi makan minum, anak dan isteri kepada mereka. Maha Besar Tuhan yang menghadiahkan solat. Siapa yang menghayatinya, dia akan berjiwa besar. Bangsa yang menghayatinya akan menjadi bangsa yang berjiwa besar.
3.Berani
Dalam solat, ada ubat atau pil untuk menjadikan orang penakut itu berani. Malahan sebelum mengangkat takbir solat pun, sudah dirasakan betapa hebatnya kekuasaan Tuhan dan betapa lemahnya makhluk ini. Datang kesedaran bahawa makhluk tidak ada kuasa langsung. Malaikat, jin, harimau dan manusia lain semuanya setaraf, setitik pun tidak ada kuasa dan kekuatan. Cuma kalau ada perbezaan antara satu sama lain adalah kerana Tuhan bagi sedikit kelebihan kepada dia. Tuhan bagi kelebihan tidak sama kepada setiap makhluk. Yang kuat dan berkuasa itu Tuhan, bukan makhluk. Bukan malaikat, bukan jin, bukan manusia dan bukan harimau. Yang patut dan layak ditakuti ialah Tuhan. Bila Tuhan sebenar-benarnya ditakuti, maka akan lenyaplah takut dan akan timbullah rasa berani terhadap sesama makhluk. Ini termasuk juga takut kepada miskin, sakit, hilang pangkat dan jawatan, hilang pengaruh, mati dan sebagainya.
Kalau kita sedar semua itu adalah dari Tuhan, maka takut kita itu akan berpindah dari perkara-perkara tersebut kepada Tuhan. Begitu juga rasa takut kepada bencana alam seperti banjir besar, gunung berapi, gempa bumi dan wabak penyakit. Tuhan kata jadi maka jadilah. Tuhan kata tidak maka tidaklah. Akan datang rasa takut kepada Tuhan lebih dari takut kepada bencana alam itu. Takut pada Tuhan itu adalah takut yang hak dan mesti dikekalkan. Takut pada makhluk adalah takut yang batil. la mesti dibuang.
4.Disiplin
Dalam solat kita berikrar dan berjanji bahawa hidup dan mati kita pun untuk Tuhan. Kalau pengakuan macam ini boleh dibuat dan dihayati dengan sepenuh hati, kita akan jadi seorang manusia yang penuh disiplin. Kalau satu bangsa boleh buat pengakuan yang seperti ini, maka bangsa itu akan menjadi satu bangsa yang berdisiplin. Bila disebut mati, semua orang yakin akan mati. Bila mati ertinya kembali kepada Tuhan. Kembali ertinya pulang ke tempat asal. Maksudnya, asal kita adalah dari Tuhan. Datang dari Tuhan, kembali pun kepada Tuhan. Maka perlulah kita hidup dan mati kerana Tuhan. Bila datang dari Tuhan dan kembali pun kepada Tuhan maka mesti ada jalan dari dan kepada Tuhan. Bila hidup dan mati kita ikrarkan untuk Tuhan maka sudah tentu kita akan ikut jalan ini. Jalan ini ialah syariat Tuhan. Kita akan ikut syariat Tuhan.
Taat dan patuh kepada syariat ini ialah disiplin. Disiplin termasuk ciri satu bangsa yang agung. Sebaliknya, bangsa yang tidak berdisiplin, siapa sahaja yang melihat akan mentertawakan bahkan akan memperlecehkan mereka. Tidak ada disiplin di sudut manapun akan jadi bahan kelakar bagi orang Yahudi. lni dapat kita lihat pada bangsa yang di Timur Tengah. Mereka sungguh tidak berdisiplin. Naik baspun berebut-rebut, tidak tahu hendak beratur. Itu sebab bangsa Yahudi tidak hormat, tidak takut dan tidak gerun dengan mereka. Itu sebab Yahudi berani memperkotak-katik dan menzalimi mereka.
5.Sabar
Sabar juga termasuk ciri satu bangsa yang agung. Sifat sabar Iebih utama bagi pemimpin. Oleh itu sifat sabar yang tertinggi dihadiahkan Tuhan kepada pemimpin, kepada para rasul terutamanya yang Ulul `Azmi. Sabar adalah syarat utama bagi seorang pemimpin. Dalam solat ada ubat dan pil untuk menjadikan seseorang itu penyabar. Sebelum kita mulakan solat pun sudah ada didikan untuk kita bersabar sama ada kita sedar ataupun tidak, sebab hendak solat bukannya senang, Iebih-Iebih lagi bagi orang yang belum khusyuk. Hendak solat pun satu ujian. Bukan senang hendak bangun tidur di waktu pagi untuk solat Subuh. Sebab itu, sesetengah orang dia duduk-duduk dulu. Dia menung dulu. Mengenangkan terpaksa ke bilik air. Kalau tidak sabar, kita tidak akan boleh buat. Kalau tidak sabar, boleh jadi kita akan tidur semula.
Sebelum solat pun sudah perlu banyak sabar. Dalam solat Iebih-Iebih lagi. Bila kita sebut: "Maliki yau middin" yang bermaksud: "Tuhan yang memerintah pada hari Akhirat" ia jadi pemangkin untuk kita bersabar. Bersabar melaksanakan segala suruhan Tuhan. Bersabar meninggalkan segala larangan Tuhan kerana takutkan Neraka dan inginkan Syurga-Nya. Biarlah bersusah-susah sedikit. Biarlah sakit sedikit. Biarlah tidak dapat mengikut kehendak nafsu asalkan di Akhirat kita selamat. Dengan itu ia memudahkan kita untuk bersabar. Samalah dengan orang yang mengejar dunia.
Hendak sekolah bukan seronok. Hendak belajar bukan senang. Hendak masuk universiti bukan mudah. Tetapi demi untuk menjadi pandai, supaya dapat kerja dan jawatan yang tinggi, bersusah payah pun dibuat juga. Orang boleh bersabar menghadapi apa yang dia benci, apa yang dia tidak suka dan apa yang menjemukannya, asalkan matlamat dan cita-citanya tercapai.
Wallahu a'lam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan