Isnin, Julai 13, 2009

Dajal Oh Dajal Laknatullah...

Asal-Usul Keluarganya:
Dajjal adalah seorang manusia dari keturunan Yahudi. Dia bukan Jin atau apa jua makhluk lain selain sebagai manusia yg ditangguhkan ajalnya “MinalMunzharin” seperti halnya Nabi Isa as yang diangkat oleh Allah swt ke langit dan ditangguhkan kematiannya sehingga diturunkan semula ke muka bumi ini lalu beliau akan mati dan di kuburkan di Madinah Al-Munawwarah. Sama juga halnya dengan Iblis yang di tangguhkan kematiannya sehingga hari kiamat.

Dajjal; ayahnya seorang yang tinggi dan gemuk. Hidungnya seperti paruh burung. Sedangkan ibunya pula seorang perempuan gemuk dan banyak dagingnya. Menurut Imam Al Barzanji ada pendapat mengatakan bahawa asal keturunan bapanya ialah seorang dukun Yahudi yang dikenali dengan panggilan “syaqq” manakala ibunya adalah dari bangsa Jin. Dia hidup pada zaman Nabi Sulaiman as dan mempunyai hubungan dengan makhluk halus. Nabi Sulaiman telah menangkap dan memenjarakannya. Walau bagaimanapun kelahiran dan kehidupan masa kecil tidak diketahui dengan jelas.

Sifat Badannya:
Hadis daripada Huzaifah r.a katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Dajjal ialah orang yang buta matanya sebelah kiri, lebat (panjang) rambutnya serta dia mempunyai syurga dan neraka. Nerakanya itu merupakan syurga dan syurganya pula ialah Neraka (Hadis Sahih Muslim)
Ada beberapa ciri perawakan Dajjal yang disebutkan dalam Hadis Rasulullah saw, antaranya: Seorang yang kelihatan masih muda; berbadan besar dan agak kemerah-merahan; rambutnya keriting dan tebal. Kelihatan dari belakang seolah-olah dahan ankayu yg rimbun. Dan tandanya yang paling ketara ada dua, iaitu, pertama: Buta mata kirinya dan kelihatan seperti buah kismis yg kecut, manakala mata kanannya tertonjol keluar kehijau-hijauan berkelip-kelip laksana bintang. Jadi kedua-dua matanya adalah cacat. Kedua: Tertulis di dahinya tulisan “Kafir (Kaf-Fa-Ra)”. Tulisan ini dapatdibaca oleh setiap org Islam, sama ada ia pandai membaca atau tidak. Mengikut hadis riwayat At-Thabrani, kedua-dua tanda ini menjelma dalam diri Dajjal setelah ia mengaku sebagai Tuhan. Adapun sebelum itu, kedua-dua tanda yang terakhir ini belum ada pada dirinya.

Tempat Tinggalnya Sekarang:
Menurut riwayat sahih yang disebutkan dalam kitab “Shahih Muslim”, bahawa Dajjal itu sudah wujud sejak beberapa lama. Ia dirantai di sebuah pulau dan dijaga oleh seekor binatang yg bernama “Al-Jassasah”. Terdapat hadis tentangnya.. (tetapi terlalu panjang untuk ditulis.. Anda boleh membaca terus dari buku). Daripada Hadis ini jelaslah bagi kita bahawa Dajjal itu telah ada dan ia menunggu masa yang diizinkan oleh Allah swt untku keluar menjelajah permukaan bumi ini dan tempat “transitnya” itu ialah di sebelah Timur bukan di Barat.

Berapa lama ia akan hidup setelah kemunculannya:
Dajjal akan hidup setelah memulakan cabarannya kepada umat ini , selama empat puluh hari sahaja. Namun begitu, hari pertamanya adalah sama dengan setahun dan hari kedua sama dengan sebulan dan ketiga sama dengan seminggu dan hari-hari baki lagi sama seperti hari-hari biasa. Jadi keseluruhan masa Dajjal membuat fitnah dan kerosakan itu ialah 14 bulan dan14 hari.
Dalam Hadis riwayat Muslim ada disebutkan: Kami bertanya: “Wahai Rasulullah! Berapa lamakah ia akan tinggal di muka bumi ini? Nabi saw, menjawab: Ia akan tinggal selama empat puluh hari. Hari yang pertama seperti setahun dan hari berikutnya seperti sebulan dan hari ketiga seperti seminggu. Kemudian hari yang masih tinggal lagi (iaitu 37hari) adalah sama seperti hari kamu yang biasa.Lalu kami bertanya lagi: Wahai Rasulullah saw! Pada hari yang panjang seperti setahun itu, apakah cukup bagi kami hanya solat sehari sahaja (iaitu 5 waktu sahaja). Nabi saw menjawab: Tidak cukup. Kamu mesti mengira hari itu dengan menentukan kadar yang bersesuaian bagi setiap solat..”Maksud sabda Rasulullah saw, ini ialah agar kita mengira jam yang berlalu pada hari itu. Bukan mengikut perjalanan matahari seperti biasa yang kita lakukan. Misalnya sudah berlalu tujuh jam selepas solat Subuh pada hari itu maka masuklah waktu solat Zuhur, maka hendaklah kita solat Zuhur, dan apabila telah berlalu selepas solat Zohor itu tiga jam setengah misalnya, maka masuklah waktu Asar, maka wajib kita solat Asar. Begitulah seterusnya waktu solat Maghrib, Isyak dan Subuh seterusnya sehingga habis hari yang panjang itu sama panjangnya dengan masa setahun dan bilangan solat pun pada sehari itu sebanyak bilangan solat setahun yang kita lakukan. Begitu juga pada hari kedua dan ketiga.

Fitnah Dajjal:
Dajjal telah diberi peluang oleh Allah swt untuk menguji umat ini. Oleh itu, Allah memberikan kepadanya beberapa kemampuan yang luar biasa. Di antara kemampuan Dajjal ialah:

1. Segala kesenangan hidup akan ada bersama dengannya. Benda-benda beku akan mematuhinya. Sebelum kedatangan Dajjal, dunia Islam akan diuji dahulu oleh Allah dengan kemarau panjang selama 3 tahun berturut-turut. Pada tahun pertama hujan akan kurang sepertiga dari biasa dan pada tahun kedua akan kurang 2/3 dari biasa dan tahun ketiga hujan tidak akan turun langsung. Umat akan dilanda kebuluran dan kekeringan. Pada saat itu Dajjal akan muncul membawa ujian. Maka daerah mana yang percaya Dajjal itu Tuhan, dan akan berkata pada awan: Hujanlah kamu di daerah ini! Lalu hujan pun turunlah dan bumi menjadi subur. Begitu juga ekonomi, perdagangan akan menjadi makmur dan stabil pada orang yang bersekutu dengan Dajjal. Manakala penduduk yang tidak mahu bersekutu dengan Dajjal..mereka akan tetap berada dalam kebuluran dan kesusahan.

Dan ada diriwayatkan tentang penyokong Dajjal akan memiliki segunung roti (makanan) sedangkan orang yang tidak percaya dengannya berada dalam kelaparan dan kebuluran. Dalam hal ini, para sahabat Rasullullah s.a.w. bertanya:”Jadi apa yang dimakan oleh orang Islam yang beriman pada hari itu wahai Rasulullah?”Nabi menjawab: ”Mereka akan merasa kenyang dengan bertahlil, bertakbir, bertasbih dan bertaubat. Jadi zikir-zikir itu yang akan menggantikan makanan.” (H.R Ibnu Majah)

2. Antara ujian Dajjal ialah kelihatan bersama-sama dengannya seumpama syurga dan neraka dan juga sungai air dan sungai api. Dajjal akan menggunakan kedua-duanya ini untuk menguji iman orang Islam kerana hakikat yang benar adalah sebalik daripada apa yang kelihatan. Apa yang dikatakan syurga itu sebenarnya neraka dan apa yang dikatakannya neraka itu adalah syurga.

3. Kepantasan perjalanan dan negeri-negeri yang tidak dapat dimasukinya:
Kepantasan yang dimaksudkan ini tidak ada pada kenderaan orang dahulu. Kalau hari ini maka bolehlah kita mengatakan kepantasan itu seperti kepantasanj anet-jet tempur yg digunakan oleh tentera udara atau lebih pantas lagi daripada kenderaan tersebut sehinggakan beribu-ribu kilometer dapat ditempuh dalam satu jam”… Kami bertanya: Wahai Rasulullah! Bagaimana kepantasan perjalanannya di atas muka bumi ini? Nabi menjawab: ”Kepantasan perjalanannya adalah seperti kepantasan “Al Ghaist” (hujan atau awan) yang dipukul oleh angin yang kencang.” (H.R Muslim)
Namun demikian, Dajjal tetap tidak dapat memasuki dua bandar suci umat Islam iaitu Makkah Al Mukarramah dan Madinah Al Munawwarah.

4. Bantuan syaitan-syaitan untuk memperkukuhkan kedudukannya: Syaitan juga akan bertungkus-lumus membantu Dajjal. Bagi syaitan, inilah masa yang terbaik untuk menyesatkan lebih ramai lagi anak cucu Adam a.s.

Wallahu a'lam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan